jiwa halus miliknya


posted by radhiahsyahida

4 comments

Hanim tunduk memandang lantai..dia tidak mampu lagi menatap wajah-wajah insan yang tidak berdosa diratah serakus-rakusnya oleh si zalim pada dada akhbar di tangannya itu. Air mata yang menyapa pipinya itu diseka dengan tangan. Dia tidak suka dilihat sebagai seorang yang lemah walaupun jiwanya begitu rapuh dengan kesedihan kerana suratan hidupnya yang seringkali teruji. Dan ujian yang dulunya begitu tegar dirasakan, kini hanya boleh dijentik dengan begitu mudah.

Dia mengangkat muka ke atas. Kekuatan kembali dibina demi mengutip kebenaran yang tersisa atas pertolongan insan-insan yang rindukan keamanan, sayangkan agama Rasululullah s.a.w, cintakan agama Allah s.w.t. Hanim kembali menyelak halaman seterusnya..sekali lagi jiwanya terusik, menurut laporan setakat ini sudah 987 nyawa terkorban termasuk warga tua, wanita dan kanak-kanak. Hatinya menyumpah-nyumpah si laknat zionis dan sekutu-kutunya. Kejamnya mereka membunuh jiwa-jiwa yang suci dan tidak berdosa demi kepentingan duniawi yang entah bila kesudahannya.

Fikirannya terus melayang, memikirkan permasalahan ummat sejagat yang kian runtuh ditelan kemajuan. Jiwa-jiwa muda yang kian rosak lantaran dahagakan nafsu dunia sehingga tidak lagi menjadikan agama Islam itu sebagai sumber hakiki. Islam hanya pada nama..ya itulah mereka! Salah siapa bila terjadinya semua ini? Takdirkah yang berdosa hingga menyebabkan mereka tidak lagi berjalan di jalan yang lurus? Sesungguhnya telah Aku ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian. Sesungguhnya aku tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubahnya. Hanim bermuqorobah, lantas kesal mula berputik kerana mempersoalkan takdir dari Allah.. Dia beristighfar berulang-ulang kali. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa yang aku sedari mahupun tidak. Hanim berdoa di sudut hati kecilnya.

Balik ke bilik, dia mendapati ahli-ahli biliknya sedang enak bersembang-sembang. Hebat mereka bercerita isu politik zaman sekarang. Sentimen yang telah disetkan untuk menjumudkan pemikiran. Enak sekali mengutuk mereka yang tidak sealiran dengannya. Seperti dunia ini mereka saja yang betul. Ah, malas lagi Hanim persoalkan. Orang yang terlalu taksub payah nak ditegur. Sayut-sayut azan asar berkumandang dari masjid berhampiran. Pantas Hanim ke musolla, seperti biasa akan ada 2-3 manusia yang masih lagi sudi mengejar sunat berjamaah. Kaki mula melangkah ke muka pintu. Aik, makin rancak lagi perdebatan mereka tentang isu semasa. Hanim hanya mampu beristighfar di dalam hati. Punahlah remaja jika hanya suka membincangkan isu masyarakat tanpa mengisi makanan hati sendiri. Jiwa semakin karat dengan sikap yang hanya memandangkan kesalahan orang. Mungkin mantap bila berhujah! Tapi ranap bila beribadah!

Seusai bersalam-salaman dengan para ahli musolla, Hanim menuntun sejadah dan kain sembahyang melalui ampaian baju. Hajat di hatinya untuk mengangkat baju-baju yang telah dijemur pagi tadi. Matanya memandang ke arah 2 orang anak kecil yang berlari di kawasan parking kereta. Keluarga pelajar barangkali, bisik hati Hanim. Bahagia sekali dia melihat anak-anak kecil itu berkejaran. Fikirannya mengimbau kembali kisah dulu kala sewaktu dia masih lagi bahagia bersama papa dan mamanya. Namun, semua kebahagiaan itu hilang sekelip mata. Dia tahu Allah lebih sayangkan mereka. Hanim memejamkan matanya.. lantas manik-manik jernih itu pantas diseka. Dia tidak sudi membiarkan orang lain mengetahui gelora jiwanya pada saat itu. Terus kakinya pantas ke muka pintu bilik, dia cuba berlagak tenang tatkala melihat rakan-rakan sebiliknya itu sudah beralih tempat ke katil masing-masing. Mungkin sessi perdebatan mereka sudah tamat. Bisik hati Hanim. Nakal! Hanim tersengih seorang diri.

Baju-baju yang kering di letakkan di atas katil. Tangannya mula menggapai Sony Ericsson yang masih menyala itu.

2 messages received
Mas UIA
03-Aug-09 4:42 pm
"Slm Hanim, malam ni kita pergi lib ye. Nak discuss pasal group presentation tu."

Adk syg

03-Aug-09 5:03 pm
"Slm Along, adik rindu bangat sm along. 2mggu lagi cti skolh. Along balik tau! ^_^"

Hanim tersenyum. Untuk apa dia bermuram durja. Allah masih sayangkan dia. Allah masih tinggalkan Basyirah untuk dia menghargai erti sebenar kehidupan. Terima kasih Allah! Hanim mengucap sayu sebelum melipat Sony Ericsson miliknya itu.


Mula pada 25/1/2009- Tamat pada 7/8/2009 ^_^

4 comments

[fellow followers]